2020 masih belum berakhir. Dalam suka ada duka, alam senyum ada tangis.
Pertama-tama, perkhabaran bahawa nama ibu terpilih dalam penstrukturan semula syarikat. Makanya, perkhidmatan selama 22 tahun ditamatkan dengan sejumlah pampasan. Segala ketentuan Allah pasti ada hikmahnya. Perkhidmatan secara rasmi tamat pada 16 Mac 2020 tetapi telah diberikan cuti bergaji sejak Jan 2020. Maka bermulah perjalanan ibu sebagai seorang penganggur...
Kronologi:
Rabu, Cuti Tahun Baru Cina, K Timah dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang akibat deman dan jangkitan paru-paru. Memandangkan anak-anaknya lelaki semua, ibu ambil peluang menjaga K Timah di hospital. Sepanjang malam K Timah bernafas menggunakan oksigen. Jam 2 pagi Abg Erfan, suaminya datang menjengah selepas dibawa ke wad kecemasan hospital disebabkan Abg Erfan juga sama-sama demam, tetapi doktor mengatakan yang dia hanya demam biasa, Masa melawat, katanya kepada ibu "Aku ni kalau boleh nak doktor masukkan aku ke wad, biar doktor pantau keadaan aku ni. Tak larat sangat". Dia hanya datang melihat keadaan isterinya tanpa mengejutkan K Timah yang sedang tidur.
Khamis, iaitu keesokannya, K Timah kelihatan sihat. Bernafas seperti biasa. Bersungguh-sungguh K Timah nak balik rumah. Melihat keadaan K Timah yang nampak sihat, doktor benarkan pulang ke rumah. Lepas waktu melawat tengah hari, kami sekeluarga balik ke Kota Damansara sebab kebetulan En Rosman ada hal.
Jumaat ibu telefon K Timah bertanya khabar. Keadaan dia pada masa itu tercungap-cungap. Katanya, sesak nafas jadi semula. Ibu janji dengan K Timah yang ibu akan balik ke Kuala Selangor pada Sabtu malam Ahad lepas En Rosman tamat latihan silat. Selalunya begitulah, kadang-kadang dalam keadaan tak sihat K Timah perlukan kawan bersembang dan peneman bercerita.
Sabtunya ibu sekeluarga kemas kain baju untuk bermalam di Kuala Selangor. Rancangan balik lepas isyak, kebetulan cuti perayaan Tahun Baru Cina yang panjang, En Rosman batalkan latihan malam itu. Semasa dalam kereta, belum pun memulakan perjalanan ke sana, En Rosman mendapat panggilan telefon daripada anaknya yang K Timah akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh dengan ambulan daripada Hospital Tanjung Karang sebab sesak nafas K Timah semakin teruk. Masyaallah... kami kembali semula ke rumah menunggu arahan selanjutnya daripada anaknya sebab ambulan masih belum bergerak daripada Hospital.
Jam 11 malam, anaknya memberi tahu yang ambulan baru sahaja bergerak daripada hospital Tg Karang. Jam 12 malam semasa sampai ke Unit Kecemasan Hospital Tanjung Karang, ambulan lebih dulu sampai. Kami jangka perjalanan 1 jam dari sana, rupanya ambulan sangat laju.
Doctor berbangsa Cina daripada Hospital Tanjung Karang memberi sedikit penerangan kepada ibu... terima kasih sangat sebab masih bertugas dengan cemerlang walaupun pada cuti Tahun Baru Cina.
Pada waktu itu, K Timah dimasukkan ke bilik di mana doktor Sungai Buloh sedang menjalankan ujian lanjut. K Timah ditidurkan oleh doktor sebagai sebahagian daripada proses rawatan.
"She is not good. Dengan bantuan pernafasan, oksigen hanya cecah 90%"
"Kenapa doktor, 90% tak okay ke?"... kata ibu, Setahu kita yang buta ilmu kedoktoran ni. Kalau exam 90% tu dah cemerlang sangat.
"Puan, sekarang pernafasan Fatimah bergantung sepenuhnya kepada mesin. Sepatutnya dengan mesin, oksigen cecah 100%. Saya akan balik semula ke Tanjung Karang, jadi maklumat lain puan kena tanya doktor Hospital Sungai Buloh"
... bermula daripada saat itu, jantung ibu dah mula berdebar kencang.
Ayat daripada doktor Sungai Buloh:
"Puan siapa? Saya nak jumpa waris pesakit. Saya nak tengok kad rawatan klinik Fatimah. Fatimah bukan sahaja ada masalah paru-paru, jantung dia juga ada masalah. She is not good. Anything can happen anytime."
Masyaallah....
Semasa anak-anaknya sampai. Abang Erfan berada dalam kondisi kesihatan yang teruk. Masih demam, tak mampu berjalan sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk dibawa berjumpa K Timah. Ingatan Abg Erfan juga tidak stabil.
Ibu berserta anak-anak diberi kesempatan doktor untuk berjumpa dan berbisik ditelinga K Timah. Alhamdulillah... Allah beri kesempatan kepada seluruh ahli keluarga ibu bertemu dan memberi kata-kata semangat kepada K Timah. Even Uwais pun dibenarkan masuk ke zon merah. Abg Erfan pada waktu itu hanya memandang K Timah dengan raut wajah tanpa perasaan.
"Papa ada apa-apa tak nak cakap pada mama", anak bongsunya bertanya.... dia hanya menggeleng.
Menjelang subuh, K Timah dibawa ke ICU, Abg Erfan dibawa balik ke rumah Mak Esah di Kota Damansara.
Kesihatan Abg Erfan terus merudum. Tak lalu makan dan minum. Langsung tidak bertanya tentang keadaan isterinya di Hospital.
Ibu akan pastikan untuk mendapatkan maklumat terus daripada pihak ICU. Maka, ibu akan ziarah pada setiap kali waktu melawat dan dapatkan maklumat keadaan K Timah daripada mulut pihak hospital.
Selasa....selepas waktu melawat tengahari, ibu balik untuk hantar Uwais ke sekolah agama. Hantar baju ke dobi untuk dikeringkan. Sekitar jam 3 petang, ibu sampai di rumah. Abg Erfan dimandikan oleh anak-anak dan En Rosman. Keluar daripada bilik air, Abg Erfan tidak bergerak, kaku. En Rosman mengarahkan ibu menghubungi ambulan. Pihak kecemasan mengajar En Rosman membuat CPR sementara menunggu ambulan sampai.
Sekitar 10 minit, ambulan sampai. Para-medic menjalankan ujian dan mengesahkan yang Abg Erfan sudah meninggal. Innalillahi wainna ilahi rajiun. Mujur Mak Esah ada, membantu menenangkan kami yang dalam kejutan dan terpinga-pinga dengan apa yang telah berlaku.
Menjelang jam 5 petang, ibu bersama k long bergegas ambik Uwais daripada sekolah agama untuk ke ICU menziarahi K Timah. En Rosman sibuk dengan urusan laporan polis. Abg Erfan perlu dilakukan bedah siasat kerana faktor umur bawah 60 tahun serta tidak mempunyai rekod masalah kesihatan. Mayat perlu dibawa ke Hospital Sg Buloh.
Sampai di Hospital, ibu ke wad ICU manakala K Long jaga Uwais di bawah. Di situ ibu berkesempatan jumpa dengan Alang, adik K Timah dan kakak ipar ibu yang telah turun daripada wad ICU setelah melawat kakaknya.
Semasa di ICU, K Timah nampaknya sedang tidur. Ibu sempat bertanya beberapa perkara dengan jururawat lelaki yang memantau di katil K Timah. Tiba-tiba, nampak K Timah bergerak-gerak, ibu lantas pergi ke sisinya. Dia membuka mata sambil mengerling kepada ibu. Ibu sempat berkata "K Timah, ini Sya datang". Tiba-tiba mata K Timah memandang ke siling dan meter bacaan jantung menjadi 0. Jururawat dengan pantas memanggil doktor dan mengarahkan ibu supaya keluar daripada ICU.
20 minit berlalu, jantung ibu semakin berdebar. Ibu menghubungi K Long, Alang dan anak-anak K Timah untuk beritahu keadaan ibu mereka. Segalanya terjawab apabila terdengar pengawal keselamatan memanggail waris pesakit katil No 3. Pada waktu itu, ibu dapat rasa sesuatu yang tak elok apabila memandang keadaan langsir pada katil K Timah yang tidak dibuka. Ibu masih terpaku di luar, Alang dan kakak ipar masuk. Kemudian ibu melihat masing-masing keluar dengan linangan air mata. Kakak ipar datang kepada ibu memberitahu yang K Timah sudah tidak ada.
Ibu terus menghubungi anak-anak K Timah yang semasa itu sedang berada dalam land rover polis untuk membawa mayat Abg Erfan ke Hospital Sg Buloh.
Begitulah... masing-masing Abg Erfan dan K Timah tidak tahu siapa yang pergi dulu..
Terima kasih kepada pihak hospital yang memberi cadangan supaya kedua-dua mayat disimpan di bilik mayat. Memandang mayat Abang Erfan perlu dilakukan post mortem, pihak hospital nasihatkan supaya proses mandi kedua-duanya dilakukan di hospital sahaja dan proses kebumi dibuat serentak.
Kematian yang akhirnya menjadi viral apabila ianya berlaku diawal penularan pandemik Covid-19. Pada waktu itu, wartawan memang berkeliaran di Hospital Sg Buloh mencari berita terkini status Covid-19 di Malaysia.
No comments:
Post a Comment